Tuesday, December 29, 2009

Mencari Jiwa di Celah Maqam Irbid

Artikel ni aku ambik dari sorang yang telah memforwardkan kepada aku. Menarik dan patut dikongsikan.

“Di antara orang-orang yang beriman itu ada lelaki-lelaki yang telah menunaikan janji-janji mereka kepada Allah maka di antara mereka itu ada yang telah sampai ajalnya dan di antara mereka itu pula masih ada yang sedang menanti-nanti dan mereka tidak sekali-kali mengubah janji mereka dengan segala sesuatu” (Al-Ahzab : 23).


Bagi meyahut seruan 'Variasi Erti Pengorbanan' sesi Aidiladha ini, saya sepakat untuk menyelusuri pengorbanan tokoh-tokoh islam di Irbid, berdekatan tempat kami menetap dan belajar sekarang.

Pertamanya sebelum memulakan sesi selusuri sahabat, saya singgah di Sod Wadi Arab. Sod ertinya empangan. Cantik sangat empangan ni. Tenang mata memandang. Macam jakun sedikit bila nampak ada empangan di Jordan. Hehe..

Paling saya suka untuk lakukan di sini ialah duduk di pinggir tebing dan merenung gunung-gunung di sekeliling sambil membayangkan bagaimana agaknya rasa berperang di kawasan berbukit tinggi seperti ini. Saya bayangkan dikepung ribuan musuh dari atas bukit yang berbondong-bondong dan penuh kibaran bendera. Dan yang paling manisnya, mungkin kalau bertakbir penuh semangat, terasa gema laungan Allahu Akbar penuh bergema di sekeliling empangan ini.. INdahnya alam~



Kemudian saya mula bergerak ke maqam sahabat. Tak sabar rasanya mahu berbicara dengan mereka. Oh ya, untuk pengetahuan semua maqam yang kami datangi hari ini ialah makan dhorih atau erti kata lain kubur yang mempunyai jasad di bawahnya, maka kembara makam hari ini terasa lebih zouq lantaran saya selalu membayangkan mereka benar-benar hadir di sisi dan melihat kehadiran saya.

Maqam pertama saya tuju ialah maqam Muadz Bin Jabal. Di sisinya ada maqam si anak, Abdul Rahman bin Muadz. Penjaga maqam di sini bersemangat bercerita mengenai kehebatan sejarah Muadz. Yang paling arif bab halal dan haram, ketua ulama di akhirat, ahli Bai'ah Madinah 2, pemuda pendiam yang tutur katanya ibarat mutiara, dan manusia yang paling disayangi Umar Al-Khattab - semuanya milik Muadz bin Jabal.

Dan saya yang mendengar dari sisi maqam tanpa semena-mena bercucuran air mata. Saya teramat-amat cemburu terutama apabila mendengarkan Rasulullah sendiri pernah menyebut- "Wahai Muadz, aku sangat menyayangi kamu!" Bahagianya Muadz~ Terasa sangat kerdil diri ini di sisinya. Pastinya saat ni, di bawah makam di hadapan saya ini ialah taman-taman syurga yang sangat-sangat indah! Tak sudah-sudah saya bermonolog sendiri bertanya keadaan Muadz dan kisah hidupnya, terasa seperti saya berbicara dengannya sendiri. Mahukan secebis nasihatnya. Saya rindu mahu bertemu dengannya.

Muadz meninggal angkara Taun Anwas yang menggila di sini dahulu. Muadz sanggup untuk tinggal di sini kerana berpegang kepada dua hadis nabi yang melarang keluar dari kawasan wabak dan mati akibat taun itu mati syahid. Dan balasannya, Muadz berhasil memperoleh impiannya-syahid di jalan Allah! (Allah,kurniakan aku semangat Muadz~)



Selesai bertemu Muadz, saya berundur dan bertolak ke maqam Amr bin Abi Waqas, adik Saad bin Abi Waqas. Di sini juga saya tak putus-putus berdoa kepada Allah agar kami semua di berikan kejayaan dan kekuatan seperti Amr Bin Abi Waqas ini. Kisahnya yang paling terkenal ialah bagaimana dia tabah berhadapan dengan ibunya yang mogok lapar dan sanggup berjemur ketika dia memeluk islam. Kuatnya iman Amr! Saya terbayang andainya saya yang menjadi dirinya, pasti hati saya tika itu berbolak-balik tak sudah-sudah. (Ya Allah, tetapkan aku di jalan-Mu walau apa pun yang terjadi~)



Menuju ke makam Syurhabil, saya tak sudah-sudah merenung daerah perbukitan di seberang jalan. Bukit yang penuh pagar itu saya tatap sedalamnya. Sebak. Apa khabar saudaraku di seberang? Bagaimana keadaan kalian di musim sejuk begini? Sungguh, bila mengenang jasa sahabat-sahabat nabi yang saya ziarahi hari ini, terasa malu apabila mengenangkan Baitulmaqdis yang mereka (maqam-maqam sahabat hari ni) buka bersama akhirnya kembali jatuh ke tangan musuh. Ya Allah, walaupun aku tak berdaya membantu mereka, aku pohohn kuatkan saudaraku di sana (Palestin) agar mereka kekal cekal dan aku akan terus memperbaiki diri demi Islam.

Kemudian saya tiba, menziarahi Syurhabil, seorang anak muda yang syahid selepas mengetuai pasukan perang dalam perang Yarmuk. Syahidnya bukan di medan perang. Tapi, di medan Taun, seperti sahabat-sahabat yang lain.. Di sekeliling masjid yang menempatkan Syuhabil, ada banyak lagi kuburan-kuburan sepi yang lama, seperti di maqam Muadz yang mana di situ masih ramai lagi pejuang-pejuang Islam yang tidak kami kenali turut meninggal dek Taun sebagaimana mereka. Tiba-tiba saya terbayang, di sini banyaknya taman-taman syurga! Dan kadang-kala saya jadi resah apabila terfikir apakah penghabisan saya bakal sebaik mereka....



Meninggalkan Syurhabil, saya pantas bergerak menziarahi maqam Dirar bin Azwar, seorang penyair yang sering kali berjaya meningkatkan semangat pejuang di medan perang dengan syairnya. Malah, lebih hebat, demi kerana terlalu rindukan syahid, Dirar maju ke medan perang tanpa perisai dan baju besi, bekalannya hanya sekadar pedang di tangan. Dirar banyak jasanya kepada kita, kerana Dirar adalah salah seorang penulis wahyu di zaman Rasulullah.

Namun, di sisi Dirar, saya mendengar kisah hebat seorang Akhwat Sahabiyah, Khaulah Al-Azwar iaitu adiknya sendiri. Andai Dirar dijoloki gelaran Pahlawan yang Berani, Khaulah digelar Pahlawan Berselubung Muka. Kerana apa? Kerana dia maju ke medan perang dengan menutup mukanya dan garang menempur musuh hingga disangka dialah Khalid Al-Walid yang perkasa. Semuanya bermula apabila hatinya tergugah mendengar kisah tertawannya abang tercinta. Hebatnya Khaulah berjaya mencabar dan menaikkan semangat pejuang Islam yang bukan wanita, maka kesannya Alhamdulillah islam berjaya~(Ya Allah, jadikanlah aku seperti Khaulah, bukan sekadar melihat malah berjuang demi agama tercinta)



Maqam terakhir adalah maqam yang paling saya tunggu-tunggu. Entah kenapa, dalam semua sirah sahabat yang saya telah baca, kisah Abu Ubaidah Al-Jarrah yang paling menusuk dada. Terasa macam meronta-ronta nak jumpa manusia bernama Abu Ubaidah. Hinggakan ada yang lainnya sering mengusik " Wah2, semangat betul dia nak jumpa kekasih hati tercinta" Pandai betul yer letak Abu Ubaidah di akhir perjalanan ya!;p

Masakan tidak, kagum saya melangit ketika mana Abu Ubaidah begitu hebat di mata nabi hingga dipilih sebagai pemegang amanah Umat Islam sedangkan Umar Al-kHattab yang sangat hebat sendiri tidak terpilih walaupun Umar sangat menginginkannya. Dia sangat tabah terpaksa melawan bapa sendiri hinggakan Allah menurunkan ayat untuk menenangkan hatinya yang gundah. Dialah antara 3 orang Quraisy yang paling bagus akhlak dan pekerti selain Abu Bakar dan Uthman.

Dia jugalah yang sanggup rongak demi mencabut topi besi yang melekat di dahi nabi, dialah yang reda Khalid menjadi ketua walaupun orang bawahan mempertikai, dialah yang terpilih mengetuai Perang Yarmuk yang menjadi lagenda, bahkan yang turut terkesan di hati saya, betapa dia mahu setia di bumi Syams yang dilanda taun gara-gara tidak mahu meninggalkan rakyat yang setia dengannya dahulu dan terus kekal bersama. Masih banyak kegemilangan Abu Ubaidah yang tak dapat saya ceritakan. Sungguh, di kaca mata saya Abu Ubaidah sangat berjaya. Tak hairanlah dia mendapat tempat antara 10 sahabat yang dijamin masuk syurga.

Setibanya di maqam Abu Ubaidah, saya tersenyum lebar. Leganya! Bahagia teramat dapat berjumpa sahabat yang satu ini. Tapi saya agak terkilan tidak dapat menyentuh maqamnya sebagaimana yang saya buat kepada sahabat yang lain. Menyentuh bukan sebab apa, tapi itu membuat saya rasa teramat dekat di sisi mereka. Bagaikan mereka masih hidup dan terserap segala semangat yang ada.



Tiba-tiba saya terfikir, itu baru maqam sahabat. Bahagianya sudah susah tergambar. Apa agaknya rasa ya kalau kita di hadapan Maqam Nabi Muhammad? Pasti lagi hebat!

Menziarahi sahabat-sahabat nabi di bumi Irbid ini seakan-akan memberi nyawa baru kepada saya. Melihat kesyahidan mereka seperti menyuntik sebuah kekuatan yang lebih menyakinkan bahawa Allah pasti redha pada hamba-Nya yang telah menunaikan janji. Janji untuk berjuang di jalan yang satu. Janji untuk menjadi hamba yang taat dan patuh. Janji untuk terus istiqamah menuju akhirat. Apakah saya mampu untuk terus menunaikan janji? Harapnya ya~

Berat rasanya hati meninggalkan maqam-maqam mereka. Tedetik di hati saya alangkah bagusnya kalau maqam-maqam ini jaraknya hanya sekilometer dua dari rumah saya. Pasti seronok sebab boleh sesuka hati ke sini kalau semangat punah atau hati gundah. Di maqam-maqam ini, saya peroleh jiwa. Di maqam-maqam ini, saya peroleh sukma. Bukan dari sahabat sebenarnya, tapi dari Allah yang menunjukkan kuasa.

Ya Allah, ini kali pertama aku menziarahi mereka. Harapanku, ini bukanlah yang terakhir. Izinkan aku bertemu mereka lagi, andai bukan ditakdirkan di dunia, pertemukan kami kembali di akhirat sana.

Selamat tinggal Muadz, Amr, Syurhabil, Dirar dan Abu Ubaidah! Doakan aku berjaya menghabiskan sisa umur yang ada ini dan berjaya memperoleh kesudahan yang baik seperti kalian~ Aku yakin, pasti aku rindukan pertemuan ini.....

No comments: